Sidang Muda

Youth Parliament

Pengenalan

LATAR BELAKANG

Sidang Muda merupakan program tahunan anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) sejak tahun 2015. Program ini merupakan satu siri latihan dan bengkel latihan pendemokrasian yang bertujuan untuk menekankan nilai kesedaran sivik, demokrasi dan kewarganegaraan dalam kalangan belia.

Secara umum, usaha pendidikan pendemokrasian dan pemerkasaan belia melalui program Sidang Muda sebenarnya telah bermula di Pulau Pinang sejak tahun 2010 lagi. Pada peringkat awal pelaksanaannya, program yang digerakkan oleh belia dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan seperti SUARAM serta dengan sokongan kerajaan negeri Pulau Pinang ini dikenali dengan nama Festival Demokrasi Tempatan.

Bermula dari penganjurannya sejak hampir satu dekad yang lalu, program pendidikan pendemokrasian yang kemudiannya lebih dikenali sebagai Sidang Muda telah melahirkan lebih daripada 500 orang alumni. Sebahagian daripada mereka kini merupakan aktivis sosial dan politik, malah ada juga yang menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri. Tidak sedikit daripada mereka juga yang kini terus berbakti kepada masyarakat melalui platform-platform yang berlainan.

Matlamat besar Sidang Muda adalah untuk melahirkan generasi muda yang celik politik dan sedar akan peranan serta tanggungjawab mereka dalam demokrasi. Sebagai sebuah entiti yang bebas dari parti politik, Sidang Muda berhasrat untuk membentuk golongan muda Malaysia yang lebih aktif dalam politik dan hal ehwal pemerintahan negara. Satu matlamat yang jauh lebih besar daripada merekrut kader-kader parti politik.

Meskipun berpangkalan di wilayah utara, tumpuan Sidang Muda tidak semestinya terhad kepada para belia di Pulau Pinang sahaja. Secara umum, wilayah tumpuannya turut menjangkau para belia dari seluruh negara. Siri bengkel yang dianjurkan oleh Demokrat Muda sejak dari tahun 2016 sehingga ke hari ini banyak menerima penyertaan belia dari negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan malah dari Sabah dan Sarawak.

Sidang Muda adalah satu wadah untuk menyahut seruan kerajaan. Setelah Malaysia memasuki era pemerintahan baharu pada Mei 2018, dengan matlamat untuk mereformasikan institusi dan ditambah pula dengan langkah baik kerajaan dengan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, Demokrat Muda merasakan bahawa tugas pendidikan pendemokrasian menjadi semakin penting.

Pelaksanaan program pendidikan pendemokrasian dan pemerkasaan belia yang dilakukan oleh Sidang Muda juga bersesuaian dengan matlamat kerajaan negeri Pulau Pinang dalam Penang 2030 iaitu untuk Memperkasakan Masyarakat Bagi Memperkukuhkan Penyertaan Sivik (Tema C). Dalam tema ini, kerajaan negeri Pulau Pinang secara khusus ingin menggalakkan lagi penyertaan belia dalam kehidupan masyarakat. Antara aspek penting yang ditekankan proses penggalakan ini adalah dengan memperkasakan organisasi-organisasi kemasyarakatan terutamanya dalam kalangan belia dan pelajar.

         Objektif

a.    Memberi pendedahan mengenai nilai sivik yang meliputi kenegaraan, kewarganegaraan (citizenship) dan pemerkasaan komuniti (community empowerment);

b.   Memupuk peserta dengan nilai pemikiran kritis, menyelesaikan masalah dan kepimpinan;

c.   Melengkapkan anggota komuniti dengan kemampuan mengenal pasti, menganalisa dan mencadangkan penyelesaian masalah atau isu di peringkat komuniti;

d.   Meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara komuniti dengan agensi kerajaan yang berkaitan baik di peringkat kerajaan tempatan atau kerajaan negeri.

Komponen Program:

1. Bengkel Demokrat Muda

Bengkel Demokrat Muda merupakan satu bengkel yang bertujuan untuk melengkapkan para belia dengan konsep-konsep dan idea-idea teras politik dan demokrasi. Bengkel ini memberi pendedahan mengenai nilai sivik yang meliputi kewarganegaraan (citizenship), kesukarelawanan (volunteerism), dan pemerkasaan komuniti (community empowerment). Ia juga memberi kefahaman mengenai proses pembuatan keputusan di Malaysia dengan penekanan kepada konsep demokrasi perwakilan, kebertanggungjawaban dan ketelusan.

 

2. Bengkel Persediaan Sidang Muda

Sesi ini merupakan program susulan Bengkel Demokrat Muda yang bertujuan untuk memberi taklimat mengenai Sidang Muda yang bakal dilangsung kemudian. Peserta akan didedahkan dengan pengetahuan yang lebih lanjut tentang Dewan Undangan Negeri. Ahli Sidang Muda akan dipilih melalui prestasi serta penilaian semasa di Bengkel Demokrat Muda.

3. Persidangan Sidang Muda

Sidang Muda merupakan satu platform untuk memberi pendedahan kepada golongan belia khususnya mereka yang telah mengikuti bengkel demokrasi dengan proses penggubalan dasar pada peringkat negeri dan negara. Para peserta diberi peluang untuk mengemukakan usul dan membahaskan usul masing-masing di Dewan Undangan Negeri dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri sebenar. Sidang Muda juga merupakan satu platform kepada masyarakat awam khususnya kerajaan negeri untuk mendengar idea daripada golongan muda.

 

4. Projek Penempatan Ahli Sidang Muda

Tujuan projek ini adalah untuk meneruskan usaha program Sidang Muda untuk memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai proses demokrasi di Malaysia serta meningkat penyertaan sosial belia.

Sertailah Kami Sekarang!

 

      Sertai Bengkel Demokrat Muda 2022 Penggal Kedua

      Bengkel Demokrat Muda merupakan siri latihan dan bengkel latihan pendemokrasian yang bertujuan untuk menekankan nilai kesedaran sivik, demokrasi dan kewarganegaraan dalam kalangkan belia. Bengkel ini mendedahkan konsep dan praktik demokrasi, aktivisme dan governan secara interaktif dan menyeronokkan. Sasaran peserta bagi bengkel ini adalah belia yang berusia antara 15 hingga 35 tahun.

      40 peserta terbaik akan ditawarkan untuk menyertai Sidang Muda 2022 Penggal Kedua.

      ***Komitmen penuh untuk setiap slot sepanjang program amatlah ditekankan.

     Dibuka untuk belia berumur 15 – 35 tahun

      Yuran Pendaftaran sebanyak RM 10

–     Bengkel ini dijalankan selama 2 hari

Borang pendaftaran untuk Bengkel Demokrat Muda boleh diakseskan di pautan berikut: 

Senarai Program